
SERDANG - Jabatan Fizik, Fakulti sains UPM melakar sat lagi sejarah dengan pelancaran program Fizik 360. Menurut Prof Dr W Mahmood Mat Yunus, Ketua Jabatan Fizik, "Pelancaran Fizik 360 merupakan satu transformasi yang syumul dan menyeluruh, bukan sahaja dari segi prestasi kerja tetapi juga sahsiah dan peribadi warga Fiziik yang terdiri dari staf dan juga pelajar. Program ini tercetus daripada semangat hiijrah untuk menganjak paradigma baru kepada warga Jabatan".
Pelancaran Fizik 360 disempurnakan oleh Prof Madya Dr Siti Khalijah Daud, Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Sains pada 2 Disember 2011 yang lalu di Bilik Gerakan Fizik 360. Dr Siti Khalijah percaya Fakulti Sains pada hari ini, dilihat sebagai sebuah organisasi yang kukuh dan dihormati, yang boleh di tanda aras dengan fakulti yang lain di UPM.
Peranan Fakulti Sains telah dipelbagaikan untuk memenuhi tuntutan dan cabaran semasa. Kejayaan mengekalkan fakulti yang bertaraf 5 bintang yang dicapai adalah atas wawasan, daya usaha yang gigih oleh semua pegawai-pegawai akademik, sokongan dan para pelajarnya.
Selanjutnya beliau berkata "Dalam tempoh 40 tahun usianya sebagai gedung ilmu, Fakulti Sains telah mencapai banyak kemajuan dan kejayaan, dan terserlah sebagai sebuah fakulti yang utuh dan dinamik bukan saja di UPM malah diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sumbangan Jabatan Fizik juga tidak terkecuali dalam mengilhamkan kejayaan fakulti kita ini.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Fizik kerana mempunyai struktur organisasi dan mekanisme yang kemas bagi membolehkan kepimpinan, bimbingan dan manfaat yang sewajarnya disampaikan kepada semua ahli jabatan sehingga ke akar umbi.
"Saya percaya dan yakin dengan kepimpinan Ketua Jabatan dan Profesor-profesornya, Jabatan Fizik akan akan lebih cemerlang dan gemilang lagi selaras dengan tagline: Fizik 360 iaitu; Pemacu Transformasi Berwawasan", ujarnya lagi.
Selaras dengan hasrat dan matlamat Jabatan Fizik untuk terus menerajui perkhidmatan cemerlang dan gemilang demi pencapaian pengurusan organisasi kualiti menyeluruh, penubuhan Fizik 360 adalah satu langkah sangat penting.
Beliau yakin dan percaya bahawa Program Fizik 360 ini akan memberi nafas baru yang mendorong dan merangsang perubahan paradigma Jabatan Fizik sejajar dengan usaha untuk memantapkan lagi kualiti perkhidmatan yang tepat, cekap dan mesra pelanggan.
Pelancaran Fizik 360 turut dihadiri oleh pegawai-pegawai akademik, sokongan dan wakil pelajar Jabatan Fizik yang sama-sama melafazkan ikrar di akhir majlis tersebut.
No comments:
Post a Comment